Oleh: Dr. Tarmizi Hasrah RENTAS, demikian nama persidangan antarabangsa yang dianjurkan oleh Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), di bawah kendalian Unit Bahasa, Sastera dan Budaya Melayu (UBSBM, pada 2 dan 3 Jun 2021 yang lalu. Penganjuran RENTAS kali ini adalah dengan kerjasama pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berjaya menarik seramai 85 pembentang dari Indonesia, Thailand dan Jerman termasuklah Malaysia. Pembentang dari Malaysia terdiri daripada para pensyarah, penyelidik dan pelajar siswazah universiti-universiti awam yang utama. Walau bagaimanapun, jumlah ini tidak termasuk makalah yang disumbangkan oleh ahli-ahli UBSBM. Selain dirasmikan oleh Dekan SLCP, Prof. Dr. Shukri Ahmad, persidangan ini turut mengundang dua pengucap utama iaitu Prof. Emeritus Dato’ Dr. Teo Kok Seong dari Institut Kajian Etnik (KITA), UKM, dan Prof. Madya Dato’ Dr. Hajah Noraini Yusoff, sebagai wakil dari SLCP sendiri. Matlamat utama penganjuran RENTAS adalah pengintegrasian ilmu secara rentas disiplin dan perencanaan usahasama ke arah pewujudan ilmu yang lebih mandiri. Kedua-keduanya dilihat tercapai apabila rata-rata pembentang turut menzahirkan kemahuan untuk sederap melangkah bagi merealisasikannya dalam penyelidikan masing-masing. Mengikut perancangan, RENTAS sepatutnya dilangsungkan pada tahun 2020, tetapi terpaksa ditunda ke tahun 2021 akibat pandemik Covid-19. “Walaupun ditunda, dan ditukar kaedah penganjurannya secara maya, namun semangat serta kesediaan para pembentang untuk berkongsi idea, pemikiran dan hasil penyelidikan tidak luntur,” kata Dr. Zamimah Osman selaku pengarah bersama RENTAS ketika menyampaikan ucapan aluan. Bahkan, ramai pihak kelihatan lebih selesa dengan penganjuran RENTAS secara maya, selain turut melafazkan kata-kata semangat agar persidangan ini bukanlah yang terakhir. “Tahniah kepada UBSBM atas kejayaan penganjuran RENTAS. Terlalu banyak manfaat yang diperoleh dalam persidangan ini. Teruskan penganjurannya.” Demikain catatan Prof. Madya Dr. Shahidi A. H. dari Pusat Bitara Melayu, UKM. Tentunya RENTAS 2021 bukanlah yang terakhir, tetapi permulaan untuk mengorak langkah dengan lebih berani dan kenal diri buat warga UBSBM, SLCP dan UUM secara umumnya bagi mendaulatkan citra warisan kebangsaan, sejajar dengan semangat zaman.
Oleh: Dr. Mohamed Nazreen Shahul Hamid
Pada 17 Jun 2021 telah berlangsungnya Bicara Karya dengan tajuk Darah dan Air Mata Perjuangan Patani dalam Novel Lukanya Merah. Program anjuran Unit Bahasa, Sastera dan Budaya Melayu (UBSBM), Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), ini diadakan dengan matlamat bagi mengimarahkan budaya ilmu dan membaca dalam kalangan masyarakat kampus dan umum.
Bagi Bicara Karya Siri 1 ini, novel Lukanya Merah karya Rohani Deraman telah dipilih oleh Dr. Mohamed Nazreen Shahul Hamid untuk dibicarakan. Karya ini dilihat penting dalam membawa suara perjuangan rakyat Patani yang sering dilupakan oleh umat Melayu sendiri yang lebih gemar memahami konflik yang berlaku di Asia Barat. Selain itu, keupayaan pengarang menghadirkan watak wanita luar biasa dan campuran fakta sebenar menjadikan novel ini sentiasa segar untuk dibaca.
Pada siri-siri yang akan datang, pelbagai karya hebat lain akan dibicarakan yang tidak terhad kepada karya bertulis sahaja tetapi juga melibatkan filem, teater dan lain-lain. Jangan lupa untuk bersama kami!